KOTA BHARU 29 Mei – Kerajaan Pas Kelantan akan mengubahsuai lima buah beca tradisional lagi dengan pemasangan kelengkapan motor elektrik dan menambah dua beca model baharu kepada penarik beca di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman berkata, peruntukkan bagi setiap beca yang diubahsuai dengan penambahan enjin bernilai RM5,000 setiap satu manakala dua lagi beca model baharu akan dibeli dengan harga RM10,000 sebuah.
Katanya, sehingga kini, dengan penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 15 buah beca bermotor yang ada bagi negeri ini.
“Kita harap dengan inovasi yang telah bermula sejak tahun lalu itu akan menarik golongan muda untuk sama-sama melakukan profesion tradisi unik ini sebagai pekerjaan mereka.
“Kita percaya dengan ubah suai itu juga dapat menjimatkan masa dan tenaga mereka, sekaligus mampu menjana pendapatan yang lebih banyak.
“Dan ini telah terbukti dengan pendapatan penarik beca yang menggunakan beca bermotor pada tahun lalu telah memperoleh pendapatan mencecah RM800 hingga RM1,200 sebulan, “ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Kerajaan Negeri Kelantan Kepada Penarik Beca di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Md Anizam berkata, seramai 27 penarik beca yang aktif di negeri ini telah menerima sumbangan bantuan sara hidup penarik beca wang tunai berjumlah RM600 termasuk barangan keperluan harian.
“Kita harap dengan bantuan ini dapat meringankan beban mereka sempena bulan Ramadan serta perayaan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











