BAKU 29 Mei – Chelsea berdepan insiden memalukan apabila dua pemain The Blues, Gonzalo Higuain dan David Luiz berkelahi ketika melakukan latihan rasmi menjelang aksi final Liga Europa.
Pergaduhan tersebut sempat dirakam stesyen televisyen tempatan dan sempat merakam bos Chelsea, Maurizio Sarri meninggalkan Stadium Olimpik Baku yang menjadi venue pertemuan menentang Arsenal dalam keadaan marah.
Jurulatih dari Itali itu dilihat mencampak serta menyepak topinya dan kemudian mengambilnya kembali sebelum membalingnya di atas padang.
Bekas jurulatih Napoli itu dikatakan bakal kembali ke Itali apabila dia dikaitkan dengan juara Serie A, Juventus.
“Saya hanya memikirkan final. Saya ada kontrak dengan Chelsea untuk dua tahun jadi buat masa sekarang saya hanya bercakap tentang Chelsea,” kata Sarri.
Jurulatih berusia 60 tahun itu berkemungkinan menggantikan Massimiliano Allegri yang meninggalkan Turin selepas Sarri menghadapi musim sukar di London malah difahamkan Chelsea tidak akan menghalangnya jika dia mahu meninggalkan Stamford Bridge.
Bagaimanapun, Sarri menegaskan pencapaiannya bersama Chelsea pada tahun pertamanya boleh dianggap cemerlang walau apa pun yang berlaku memandangkan mereka berada di Stadium Olimpik Baku.
“Bagi saya, pada awal musim saya berdepan kesukaran untuk memahami pemain, mentaliti mereka namun selepas bergelut pada Januari, mereka mula menunjukkan perubahan pada Februari.
“Buat masa sekarang saya sukakan mereka sebab saya mempunyai 22 pemain hebat dan saya gembira bersama mereka dan sudah tentu saya menyukai bola sepak Inggeris.
“Ada masa kami di atas dan sebaliknya namun apabila berada di bawah kami menjadi kuat, dan sebab itu kami berada di sini. Saya fikir kami layak untuk mempamerkan persembahan menarik esok, bermain dengan sepenuh hati.
“Kami terlepas Piala Liga selepas kalah dalam penentuan penalti jadi esok kami ada peluang terbaik untuk menggembirakan semua orang. Buat masa sekarang tiada masa untuk bercakap mengenai sebarang spekulasi,” katanya. – AGENSI











