KUALA LUMPUR 29 Mei – Penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino Segovia bakal terlepas seluruh baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini akibat kecederaan serius.
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam kenyataan hari ini berkata, selepas berbincang dan mendapatkan pandangan doktor serta fisio pasukan, mereka terpaksa merehatkan penyerang kelahiran Madrid, Sepanyol itu.
Rufino, 34, yang disahkan mengalami kecederaan tendon Achilles hanya dijangka pulih sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
“Rufino masih mempunyai baki setahun kontrak bersama FAS dan sebab itu kami tidak tergesa-gesa untuk menggunakan khidmatnya.
“Kami juga memberi ruang Rufino sembuh sepenuhnya bagi mengelakkan kecederaan itu berulang jika tidak dirawat dengan sebaiknya,” kata Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon.
Kehadiran penyerang dari Nigeria, Ifedayo Olusegun dilihat menampung masalah kerapuhan jentera serangan Red Giants dengan baik.
“Kami juga mengambil keputusan mendapatkan Endrick (Brazil) dan merehatkan Rufino,” kata Johan lagi.
Menurut Johan, ia kehilangan besar buat Red Giants untuk mengharungi baki saingan 2019, apatah lagi Rufino telah meledak 31 gol musim lalu.
“Kehilangan pemain terbaik adalah satu kekecewaan dan kehadiran beberapa pemain lain diharap dapat menampung ketiadaan Rufino bagi baki musim ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











