KUALA LUMPUR 29 Mei – Tiga pelajar alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terpilih ke tiga akademi tentera Amerika Syarikat (AS) menerima surat tawaran pengajian masing-masing secara rasmi hari ini.
Mereka ialah Muhammad Aniq Hilman Haslimi berasal dari Wangsa Maju dan merupakan alumni MRSM Baling, Mateshan Varma Subramaniam berasal dari Ipoh, Perak dan Grace Sian Ern Hui dari Ampang, Selangor.
Mateshan Varma yang juga lulusan Maktab Tentera Diraja Malaysia dan Grace, kedua-duanya merupakan alumni MRSM Parit.
Surat tawaran rasmi itu diberikan oleh Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir di kediaman rasmi duta berkenaan.
Muhammad Aniq Hilman menerima tawaran pengajian dengan biasiswa penuh di Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland, Mateshan Varma di Akademi Tentera Darat AS (USMA) atau dikenali West Point di New York dan Grace di Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado.
Momen bersejarah ketiga-tiga pelajar berkenaan turut disaksikan bersama-sama ahli keluarga masing-masing serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.
Ketiga-tiga mereka akan melanjutkan pengajian dalam bidang ketenteraan di peringkat ijazah sarjana muda selama empat tahun sehingga 2023. – UTUSAN ONLINE
Video oleh Azman Ibrahim











