KUALA LUMPUR 28 Mei – Transaksi bagi kategori makanan dan tempat makan di platform pulangan tunai ShopBack menyaksikan peningkatan lima kali ganda dalam tempoh tiga minggu sepanjang Ramadan kali ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Pengurus Besar Negara, ShopBack Malaysia, Alvin Gill, prestasi kategori berkenaan juga mencatatkan peningkatan dipacu oleh tawaran yang dibuat restoran-restoran tersebut seperti pengurangan bayaran penghantaran dan jumlah perbelanjaan minimum.
Katanya, kategori berkenaan juga berkembang 60 peratus pada suku pertama berbanding suku keempat 2018 dan menjadi antara kategori paling cepat berkembang di platform berkenaan.
“Walaupun kita berada di bulan puasa, jumlah transaksi makanan dan tempat makan masih terus meningkat kerana ramai yang akan meluangkan waktu berbuka puasa dengan keluarga di restoran selepas bekerja atau memesan makanan dari restoran 24 jam.
“Antara jenama popular di platform ShopBack adalah Foodpanda, Eatigo, Delivereat dan Smartbite yang menawarkan pulangan tunai sehingga sembilan peratus di laman web dan applikasi ShopBack,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Gill, pengguna boleh menyemak pulangan tunai mereka dalam tempoh 48 jam selepas mereka klik melalui ShopBack dan membuat tempahan dengan kedai atau restoran tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan Foodpanda, Sayantan Das berkata, trend penghantaran makanan semakin berkembang terutama pada Ramadan dengan tempahan makanan dibuat lebih awal pada pukul 4 petang, berbanding bulan-bulan lain yang selalunya dibuat pada pukul 8 malam dan ke atas.
Katanya, antara menu popular yang sering dipesan pengguna dalam bulan ini adalah ayam goreng, burger dan kentang wedges.
“Rakyat Malaysia sentiasa mencari tawaran terbaik yang terdapat di platform dan untuk itu, Foodpanda menawarkan penghantaran percuma mulai pukul 6 petang hingga 6 pagi hingga 4 Jun sempena Ramadan tahun ini.
“Di samping itu, dengan perbelanjaan minimum yang dikurangkan, para pelanggan dapat menikmati makanan kegemaran mereka dengan harga serendah RM5.
“Kami ingin memastikan para pelanggan muslim kami dapat berbuka puasa dengan mudah tanpa perlu bergegas memasak atau beratur membeli makanan,” katanya.











