Pasaran menurun: Apa perlu buat? - Utusan Malaysia

Pasaran menurun: Apa perlu buat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apakah pendekatan yang perlu diambil oleh pelabur sekiranya pasaran sedang dalam aliran menurun?

Apabila melihat carta perge­rakan saham dalam aliran me­nurun diikuti sentimen pasaran yang lemah disebabkan tiada petunjuk positif, pelabur boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Tempoh menunggu ini dibuat setelah pelabur sempat melupuskan pegangan saham sebelum pasaran memasuki aliran menurun.

Seandainya pelabur terperangkap membeli saham pada harga sebelum pasaran jatuh, mereka boleh mengambil pendekatan jual dahulu. Penjualan ini perlu dilakukan setelah pelabur membuat semakan faktor-faktor persekitaran yang mempengaruhi pasaran termasuk juga kajian ilmu analisis teknikal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beli balik

Pelabur akan membeli balik saham yang sama dengan harga lebih rendah pada bila-bila masa. Perbezaan harga beli dan jual ini merupakan keuntungan sama seperti transaksi Intraday Short Selling (IDSS).

IDSS ialah transaksi jual saham-saham terpilih dan dibenarkan oleh Bursa Malaysia yang mana pelabur tidak miliki tetapi penjualan ini perlu disertakan dengan pembelian pada hari sama.

Cuma kaedah jual dahulu dan beli kemudian saham-saham yang ada dalam portfolio pelaburan ini mengambil peluang membuat keuntungan pada saham-saham yang masih di­simpan telah dibeli pada harga tinggi sebelum pasaran me­ngalami penurunan.

Strategi ini sesuai bagi pelabur yang merasa sayang untuk jual terus saham-saham di dalam portfolio kerana tidak mahu menanggung kerugian semasa pasaran mengalami kejatuhan.

Banyak keadaan kejatuhan yang tidak dapat diramalkan oleh pelabur atau kejatuhan di luar jangkaan yang menyebabkan pelabur terperangkap membeli saham pada harga tinggi.

Dinyahsenarai

Untuk cut loss saham atau jual terus dan menanggung kerugian boleh dilakukan sekiranya saham syarikat tersenarai tiada potensi untuk naik.

Misalnya, waran yang akan dinyahsenarai atau menghampiri tarikh luput, saham-saham dalam senarai PN17 yang bakal dinyahsenarai, saham syarikat yang kerap mempunyai masalah dalaman dan kes mahkamah ataupun saham-saham yang sememangnya akan jatuh berterusan berdasarkan pembacaan pada carta saham.

Untuk menjual saham sama ada jual terus atau akan beli di kemudian hari mestilah bersandarkan kepada faktor atau berita yang dikeluarkan oleh syarikat tersenarai tersebut termasuk menyemak penyata kewangan syarikat tersenarai yang dikeluarkan pada laporan kewangan suku tahunan.

Sekiranya dalam fikiran pelabur mempunyai apa-apa saham syarikat tersenarai yang le­bih berpotensi, barulah pelabur boleh menjual mana-mana saham yang dirasakan tidak perlu atau tidak berbaloi berada lama di dalam portfolio pelaburan.

Pelabur juga perlu menetapkan tempoh masa berapa lama saham dibeli itu harus disimpan. Misalnya, pelabur tetapkan strategi memegang saham syarikat ABC untuk tempoh enam bulan atau setahun.

Jika dalam tempoh ini saham tersebut tidak naik, maka pelabur boleh mengambil tindakan menjual saham tersebut dan menggantikannya dengan saham syarikat tersenarai lain yang lebih berpotensi.

Kaedah ini hanya sesuai kepada saham-saham yang tiada masalah dalaman, mempunyai penyata kewangan yang positif atau tidak mengalami kerugian besar.

Pemilihan saham

Sekiranya saham-saham ini jatuh disebabkan sentimen pasaran negatif atau pasaran jatuh semasa berada di dalam bulan-bulan negatif, pelabur yang mempunyai lebihan modal boleh membeli lagi saham syarikat tersenarai yang sama atau berlainan.

Pemilihan saham-saham yang baik adalah satu kombinasi ilmu analisis teknikal dan juga fundamental.

Ketika ini penyaringan saham-saham berpotensi menjadi semakin mudah dan cepat. ­Banyak perisian yang menawarkan kaedah mudah dan pantas menyaring saham-saham berpotensi, justeru, pelabur dan pedagang masa kini sudah tidak perlu bersusah-payah mempelajari segala ilmu analisis teknikal dan fundamental seperti dahulu.

Ini termasuk juga penyelidikan yang disediakan oleh bahagian penyelidikan broker saham. Oleh itu, membuat kajian dan pemilihan saham-saham syarikat tersenarai masa kini agak mudah kerana mendapat sokongan dan bantuan dari pihak-pihak penyedia perisian carta, aplikasi saham, syarikat broker saham termasuk syarikat berkaitan perdagangan dan pelaburan saham.

Kepada yang ingin mempelajari tentang pelaburan saham atau membuka akaun urus niaga saham, sila hubungi talian 019-2352037.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini