KUALA LUMPUR 29 Mei- Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga bot nelayan yang disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan di kawasan larangan kira-kira 3.6 kilometer dari pesisir pantai Laut Merotai dan Laut Sungai Udin di Tawau, Sabah, semalam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati ketiga-tiga bot pukat tunda itu masing-masing dikendalikan seorang juragan tempatan dan dua lelaki warga Indonesia berusia antara 37 hingga 44 tahun.
“Bot pukat tunda terbabit bersama hasil tangkapan kira-kira 60 kilogram dianggarkan bernilai RM1,950 diiring ke jeti Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.
“Turut ditahan enam anak kapal yang juga warga Indonesia berusia antara 30 hingga 40 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Pajeri menasihatkan komuniti nelayan supaya tidak melanggar syarat lesen kerana perbuatan itu bukan saja mengganggu ekosistem dan hidupan laut malah turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai.- UTUSAN ONLINE











