KUALA LUMPUR 29 Mei – Yayasan Keperhatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menganggap langkah kerajaan untuk melonggarkan visa kemasukan kepada pelancong dari India dan China ke negara ini tidak perlu kerana tindakan itu mampu memberi kesan negatif pada jangka masa panjang terutama dalam aspek sosial.
Pengerusinya, Halim Ishak berkata, beliau menyokong sepenuhnya gesaan yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman bagi meminta kerajaan mengkaji semula kelonggaran syarat kemasukan kepada pelancong kedua-dua negara itu kerana mampu mendatangkan banyak masalah menggugat kedaulatan dan keselamatan.
Katanya, kemasukan pelancong ke negara ini sepatutnya dilayan secara sama rata tanpa memberikan kelonggaran atau keutamaan kepada negara-negara tertentu sahaja.
“Ketika ini kita sudah pun berdepan dengan lambakan warga asing yang begitu membimbangkan dan jika tidak dipantau serta tidak diambil tindakan pengusiran segera dikhuatiri akan mendatangkan banyak masalah di masa hadapan.
“Kebanjiran mereka bukan sahaja membimbangkan komuniti di negara ini yang mula terancam berikutan peningkatan kes jenayah dan gejala sosial membabitkan warga asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Halim turut menyarankan agar kemasukan pelancong ke negara ini perlu melalui satu sistem bersepadu membabitkan semua agensi yang berkaitan bagi memastikan mereka meninggalkan negara ini mengikut tempoh yang ditetapkan.
Jelas beliau, Malaysia seharusnya mencontohi pendekatan dan tindakan tegas yang dilakukan oleh negara-negara lain yang sama sekali tidak berkompromi berhubung isu kemasukan warga asing ke negara mereka melalui saluran yang tidak sah.
“Kita lihat sahaja statistik kemasukan pelancong dari China seperti yang dibangkitkan oleh Datuk Hamidah iaitu pada 2005, sebanyak setengah juta pelancong dari China dicatatkan masuk ke negara ini namun hanya 315,000 sahaja direkodkan keluar. Di mana lagi 185,000 yang sehingga hari ini masih gagal dikesan?.
“Lebih baik pencegahan awal dilakukan dan tidak ada gunanya untuk mempertingkatkan kemasukan pelancong jika perkara-perkara yang boleh membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara tidak diambil kira bersama,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE











