Harga Exora 2019 serendah RM59,800 - Utusan Malaysia

Harga Exora 2019 serendah RM59,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 28 Mei – Proton Exora 2019 memiliki peningkatan ciri-ciri nilai tambah termasuk ruang kabin lebih luas dan dilengkapi dengan aplikasi pintar serta sistem pengecaman suara.

Harga yang ditawarkan se­rendah RM59,800 bagi varian Executive 1.6T CVT termasuk harga atas jalan manakala bagi varian Premium 1.6T CVT pula, harga yang ditawarkan adalah pada RM66,800 (harga terma­suk atas jalan).

Bagi kedua-dua model ini, Proton turut diberi keistimewaan dengan tawaran kadar faedah pembiayaan bank serendah 2.7 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, pelbagai ciri menarik ditawarkan pada kali ini termasuk sistem pengecaman suara atau komunikasi pintar di antara pemandu dengan kenderaan yang dinaiki.

Katanya, Proton juga menawarkan kemudahan internet percuma dengan kapasiti satu Gigabit sebulan selama lima tahun.

“Kedua-dua model baharu ini amat tepat untuk keluarga pulang ke kampung halaman pada musim perayaan ini. Mereka yang mendaftar pada tahun ini akan mendapat kos upah buruh percuma selama lima tahun dan dua tahun cukai jalan percuma untuk kenderaan persendirian,” katanya dalam majlis pelancaran dua varian Proton Exora 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed dan Ketua Reka Bentuk Proton, Azlan Othman.

Kedua-dua varian tersebut merupakan satu-satunya mo­del kenderaan pelbagai guna (MPV) tujuh tempat duduk yang dilengkapi enjin pengecas turbo 1.6 liter.

Dengan keupayaan 140PS pada 5,000 rpm dan 203Nm tork dari 2,000-4,000 rpm, Exora 2019 mampu memberi tindak balas dengan pantas terhadap sebarang pemanduan.

Kelajuan dipadankan untuk memastikan pengendalian yang selesa di mana para jurutera casis Proton telah menukar pemanduan dan pengendalian bagi memberi keseimbangan pengendalian yang baik dan pemanduan selesa.

Dengan dua beg udara hadapan, kawalan kestabilan elektronik (ESC), brek cakera di sekeliling, brek anti-kunci (ABS), agihan brek elektronik (EBD) dan tali pinggang hadapan dengan fungsi pengetat, model ini terdapat kelengkapan keselamatan lengkap yang digabungkan dengan ciri-ciri kemudahan seperti sensor tempat letak kereta di belakang serta kamera undur.

Proton Exora 2019 menerima penambahbaikan pada rekaan luarannya untuk memastikan ia sentiasa memberikan pembaharuan.

Satu antena sirip ikan yang baharu dipadankan dengan ­panel bumbung luar hitam untuk kelihatan lebih sporty manakala satu warna baharu iaitu Rosewood Maroon, memperlihatkan MPV ini lebih menonjol tidak kira di mana sahaja pemanduannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini