KUALA LUMPUR – Pemergian penyanyi veteran Datuk Dahlan Zainuddin turut dirasai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disifatkan sebagai biduan negara.
Baginda bertitah, Dahlan bukan seseorang yang asing dalam arena seni kerana baginda secara peribadi mengenali dan meminati setiap karya Allahyarham.
Titahnya, antara lagu yang masih diingati ialah Kisah Seorang Biduan iaitu berkisarkan penghijrahan golongan muda untuk meneruskan kehidupan.
“Saya sememangnya mengenali Allahyarham sejak dari muda kerana beliau sering diundang untuk membuat persembahan upacara di Pahang.
“Dia seorang yang baik dan saya amat meminati beberapa lagu beliau antaranya sudah tentu Kisah Seorang Biduan,” titahnya kepada Kosmo! Online.
Baginda turut berharap ramai dalam kalangan penggiat seni mencontohi Allahyarham yang berjuang melahirkan ramai bakat tempatan.
Terdahulu, baginda berkenan mencemar duli melawat jenazah Dahlan yang ditempatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Sidiq di sini.
Baginda turut menyempurnakan solat sunat jenazah dan menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah.
Baginda yang tiba pada pukul 9.30 pagi itu kemudiannya berangkat pulang pada pukul 10 pagi.
Terdahulu, Dahlan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Selayang pada pukul 9.48 malam tadi akibat serangan strok.
Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur hari ini. – K! ONLINE











