KUALA LUMPUR 26 Mei – Kira-kira 150 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) telah bersedia untuk melaksanakan Operasi Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) tahun ini.
Bagi memastikan anggota terbabit melaksanakan tugas secara lebih fokus, satu taklimat mengenai OPS HRA telah diadakan di JPJ WPKL yang diselaraskan oleh Seksyen Operasi, Bahagian Penguatkuasa JPJ WPKL.

Taklimat yang dihadiri oleh 150 anggota pengkuatkuasa JPJ WPKL itu dimulakan dengan amanat daripada Timbalan Pengarah JPJ WPKL, Abdul Tolib Ahmad diikuti dengan taklimat daripada Ketua Seksyen Operasi JPJ WPKL, Ahmad Kamarunzaman Mehat.
Taklimat itu bertujuan memberi pencerahan, panduan dan arahan bagi menzahirkan tindakan penguatkuasaan yang akan dijalankan pada OPS HRA itu.

Objektif penguatkuasaan pada kali ini memfokuskan rakyat dengan berasakan dua premis iaitu pengalaman interaksi rakyat iaitu pengalaman rakyat yang menyeronokkan taktala menerima perkhidmatan yang melangkaui jangkaan mereka sehingga membangkit emosi yang positif terhadap perkhidmatan kerajaan khususnya JPJ.
Dengan itu ia diharap akan memberi titik sentuhan iaitu empati terhadap keperluan dan keluh kesah rakyat melalui indenfikasi perkhidmatan yang boleh dirasai dan dihargai oleh pengguna jalan raya. – UTUSAN ONLINE











