Maik agih RM10 juta wang zakat sepanjang Ramadan - Utusan Malaysia

Maik agih RM10 juta wang zakat sepanjang Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 Mei – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) memperuntukkan sebanyak RM10 juta wang zakat untuk diagihkan kepada asnaf sepanjang bulan Ramadan ini.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, penyaluran agihan zakat itu termasuklah dalam bentuk bantuan pendidikan, bencana dan perubatan kepada asnaf.

Beliau berkata, jumlah itu juga termasuk sumbangan hampir RM300,000 yang disampaikan kepada kira-kira 1,000 penerima ketika program-program anjuran Maik bersama asnaf sepanjang Ramadan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada banyak program penyampaian termasuk yang dihadiri Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ketika baginda mencemar duli meluangkan masa bersama rakyat negeri ini.

“Antara program yang kita anjurkan, program bersama anak yatim dan juga majlis berbuka puasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra dan isteri, Cik Puan Sofie Louise Johansson sempena Program Ziarah Wad Anggerik dan Wad Puteri di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz; Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin dan Pengarah HRPZII, Datuk Dr. Selasawati Ghazali.

Dalam perkembangan lain, Nik Mohd. Azlan berkata, pihak Maik bersedia menyerahkan rumah bantuan banjir di Gua Musang yang belum ‘berpenghuni’ kepada golongan asnaf jika mereka sanggup berpindah dan tinggal di jajahan itu.

Beliau berkata, daripada kira-kira 100 buah yang didirikan di Gua Musang untuk mangsa banjir besar 2014, masih terdapat lebih kurang 20 unit belum didiami.

“Kita bina rumah-rumah ini di Limau Kasturi, Tanah Putih dan Simpang Pulai tetapi ada mangsa banjir yang tidak mahu berpindah ke situ.

“Pihak Maik sudah meminta pejabat daerah di sana supaya bersedia menyerahkan rumah itu jika ada asnaf yang memerlukan kediaman mahu menetap di kawasan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini