KABUL 28 Mei – Jumlah serangan terhadap sekolah-sekolah di Afghanistan dilaporkan meningkat hampir tiga kali ganda tahun lalu, sekali gus menyukarkan lagi usaha untuk memastikan pendidikan kanak-kanak di kebanyakan tempat di negara ini terjamin.
Reuters memetik Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sebagai berkata, angka serangan meningkat daripada 68 pada 2017 kepada 192 tahun lalu.
Peningkatan jumlah serangan itu adalah pertama kali dicatatkan sejak 2015.
“Pendidikan sedang terancam di Afghanistan. Serangan tidak berperikemanusiaan terhadap sekolah-sekolah, pembunuhan, kecederaan dan penculikan guru serta ancaman terhadap pendidikan menyebabkan harapan dan impian seluruh generasi akan datang musnah,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore.
Lebih 1,000 sekolah di seluruh negara masih ditutup ekoran ancaman keselamatan daripada kumpulan militan Taliban dan pengganas Daesh.
Taliban didakwa sering menutup sekolah yang beroperasi tanpa mengikut cara ditetapkan oleh kumpulan berkenaan.
UNICEF memaklumkan, penggunaan sekolah sebagai pusat pengundian ketika pilihan raya Parlimen tahun lalu mungkin menjadi faktor di sebalik peningkatan serangan.
Tambah UNICEF, seramai 3.7 juta kanak-kanak tidak menerima pendidikan yang formal.











