IPOH 28 Mei – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena memperingati kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah serta berbuka puasa di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan.
Selepas berbuka puasa, baginda berkenan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Majlis yang dihadiri lebih 1,000 tetamu itu kemudian diakhiri dengan solat Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah. – UTUSAN ONLINE











