KUALA LUMPUR 28 Mei – Kenanga Investment Bank Bhd. telah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk Kenanga Investors Bhd (KIB) mengambil alih 100 peratus pegangan ekuiti dalam Libra Invest Bhd (Libra Invest), tertakluk kepada mendapat kelulusan yang diperlukan daripada Suruhanjaya Sekuriti.
KIB ialah anak syarikat pengurusan aset Kenanga, manakala Libra Invest ialah cabang pengurusan dana ECM Libra Financial Group Bhd.
Di bawah terma perjanjian pembelian saham bersyarat yang dibuat pada Mac tahun ini, KIB akan mengambil alih Libra Invest untuk pertimbangan pembelian sebanyak RM50.1 juta,” kata Kenanga dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, pertimbangan pembelian akhir akan berdasarkan nilai aset bersih Libra Invest pada hari terakhir bulan sebelum tarikh penyelesaian dan premium sebanyak RM35.0 juta.
“Pengambilalihan strategik pelengkap ini dijangka mendorong nilai aset di bawah pengurusan KIB naik lebih RM10.0 bilion, meningkatkan kedudukannya sebagai salah satu syarikat amanah saham dan pengurusan aset terkemuka di Malaysia,” kata Pengarah Urusan kumpulan Kenanga Investment Bank, Datuk Chay Wai Leong.
Ditubuhkan pada tahun 1995, Libra Invest ialah Syarikat Pengurusan Aset yang memenangi pelbagai anugerah dengan kekuatan dalam segmen pendapatan tetap. Pengalamannya dalam bidang ini akan melengkapkan barisan produk ekuiti KIB yang berjaya, mewakili pengembangan dan kepakaran pelaburan yang besar.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif KIB, Ismitz Matthew De Alwis berkata, kedua-dua pihak berharap pengambilalihan itu selesai pada suku ketiga tahun ini.
“Melalui ini, kami akan meningkatkan barisan produk, mempelbagaikan aset asas dan meningkatkan keupayaan pelaburan secara keseluruhan, dengan hasrat memacu hasil pelaburan yang lebih baik untuk pelanggan kami yang semakin berkembang pesat dan arif dalam pelaburan,” katanya. – BERNAMA











