PUTRAJAYA 28 Mei – Kementerian Wilayah Persekutuan dalam proses untuk menyiapkan Pelan Kuala Lumpur 2020 – 2040.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, mulai sekarang hingga penghujung 2020, sesi-sesi pendengaran awam sedang dibuat untuk menyiapkan pelan berkenaan.
Beliau berkata, apabila selesai pendengaran awam, Pelan KL 2020-2040 dijangka akan digezetkan pada penghujung 2020 nanti.
“ Ketika itu apa-apa pembangunan yang hendak dibuat di Kuala Lumpur, yang bertepatan dengan pelan itu, tidak perlu lagi sesi pendengaran awam dibuat. Ini kerana, pendengaran awam telah dibuat sebelum pelan itu digezetkan.
“Pendengaran awam perlu dibuat jika pembangunan yang hendak dibuat itu bertentangan dengan pelan yang telah digezetkan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Khalid, semasa pendengaran awam ini, penilaian impak trafik (Traffic Impact Assesment (TIA) ) dan penilaian impak sosial (Social Impact Assessment (SIA) ) wajib dibentangkan kerana ingin mengubah apa yang telah digezetkan.
Bagaimanapun katanya, untuk Pelan KL 2020 yang telah digezetkan pada Oktober 2018, ia adalah kes yang berbeza kerana pendengaran awam telah diadakan pada 2012 tetapi ia tidak digezetkan selepas itu.
“Maka dalam keadaan tiada pelan yang digezetkan, Rule 5 atau Kaedah 5, digunapakai untuk pembangunan yang diinginkan.
“Perubahan pelan telah dibuat dari apa yang telah dipamerkan pada 2012 berdasarkan pendengaran awam mengikut Rule 5 ini. Mengikut Rule 5, TIA dan SIA tidak perlu dibentangkan semasa pendengaran awam.
“Pembangunan yang dibuat tanpa adanya pelan digezetkan perlu mematuhi Rule 5, tetapi selepas digezetkan Rule 5 tidak digunapakai lagi,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE











