KOTA BHARU 27 Mei – Barisan tukang gunting di negeri ini sudah bersiap sedia diserbu para pelanggan yang mahu ‘bojeng’ (menggayakan) rambut masing-masing supaya tampil kemas dan menarik ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, minggu depan.
Wan Mohd. Zaahed Wan Jusoh dari The Scissors By Rango yang terletak berhampiran Pelangi Mall, di sini berkata, kebiasaannya, bilangan pelanggan bertambah mendadak menjelang 10 hari terakhir Ramadan menyebabkan dia dan rakan-rakan tidak menang tangan.
Bagaimanapun katanya, kali ini mereka sudah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal untuk berdepan ‘serbuan’ pelanggan yang membuat datang di saat-saat akhir.
“Masuk sahaja 10 terakhir Ramadan, kami menerima sekitar 60 pelanggan sehari.
“Alhamdulillah, walaupun penat namun saya bersama empat lagi rakan gembira dapat memenuhi hasrat para pelanggan,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa Tukang Gunting Kelantan di Lundang semalam.
Majlis tersebut dihadiri seramai 20 tukang gunting dari beberapa kedai gunting tempatan, antaranya SM Barber Shop yang beroperasi di Pengkalan Chepa, Abe Izz Barber Shop (Pasir Mas), Serlups Baber Shop (Cherang) dan banyak lagi.
Sementara itu, penganjur program, Mohd. Anuar Muhammad dari YT Baber Shop yang terletak di Melor memberitahu, majlis berbuka puasa itu bertujuan merapatkan hubungan sesama tukang gunting sekitar negeri ini termasuk mereka yang beroperasi di Besut, Terengganu.
Katanya, dalam pertemuan itu mereka turut bertukar-tukar pendapat mengenai bojeng rambut terkini, sekali gus dapat meningkatkan lagi kualiti hasil kerja masing-masing. – UTUSAN ONLINE











