KUALA LUMPUR – Upacara pengebumian mendiang sejarawan negara dan ahli akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, 82, akan dijalankan pada Sabtu ini.
Anak sulungnya, Eddin Khoo, 50, berkata, mendiang ayahnya diletakkan di Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi di sini untuk membolehkan ahli keluarga dan sahabat memberikan penghormatan terakhir.
“Upacara penghormatan terakhir akan bermula pada pukul 10.30 pagi Khamis ini hingga Jumaat ini.
“Mendiang bapa saya kemudian akan dibawa ke Pusat Peringatan Nirvana di Shah Alam pada pagi Sabtu ini untuk upacara pengebumian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi di sini hari ini.
Eddin menambah, upacara penghormatan terakhir tersebut terbuka kepada mereka yang mengenali ayahnya.
“Pemergian beliau pada pagi tadi dikelilingi oleh ahli keluarga yang sangat menyayanginya.
“Kehilanggannya sangat dirasai namun ayah pergi dalam keadaan aman dan tenang,” ujarnya.
Mendiang meninggalkan seorang balu, Puan Sri Rathi Khoo, 75, dan tiga anak iaitu Eddin, Rubin, 47, dan Mavin, 42.
Kay Kim meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya pukul 10.13 pagi tadi.
Mendiang telah membuat pembedahan pintasan pada Oktober tahun lalu namun keadaan kesihatannya semakin merosot. – K! ONLINE











