KOTA TINGGI – Seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terpaksa beraya di dalam tirai besi selepas Mahkamah Majistret di sini menjatuhi hukuman penjara tiga bulan bermula hari ini.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua mereka terdiri daripada 26 lelaki dan enam wanita mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak diwartakan pertengahan Mei lalu.
Tertuduh membabitkan, Zainudin, 23; Mastah, 29; Makbul Jailani, 34; Marianto Ayub, 27; Jony Iskandar, 27; Umar, 41; Marsel, 37; Nasriato Maun, 25; Saat, 35; Nasrudin Linah, 36; Zakaria, 29 dan Harianto, 25.
Turut didakwa Tamrin, 31; Novianus Mau, 22; Rofiliyanto, 25; Fendi, 30; Muhammad Amin, 46; Burhanudin, 25; Iswan Saputra, 25; Mahdam, 25; Lalu Muhamad Zaenudin, 41; Salim, 22; Muhamad Rusdi, 37; Edi, 19 dan Sahabudin, 29.
Selain itu, Rosinhan, 22; Nur Hasana Minasih, 40; Sahni Rusnini, 45; Arumi Dewi Arifin, 34; Salwa Chika Pratiwi Lubis, 25; Ida Yusuf, 30 dan Siti Nawiyah Basri, 28 turut didakwa.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berada di dalam air di pesisiran pantai Tanjung Lompat Desaru di sini, bagi maksud memasuki perairan Malaysia tanpa menerusi jalan yang diwartakan kira-kira pukul 8.10 malam, 15 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 57 Akta Imigresen 1959/63.
Kesalahan terhadap akta itu yang mana tidak ada penalti yang diperuntukkan hendaklah apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Syazana Abd Lajis manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE.











