SEPANG – Polis Sepang menerima sebanyak 12 laporan kes sindiket penipuan secara dalam talian yang melibatkan kerugian sebanyak lebih RM525,000 bermula Januari hingga Mei ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, daripada laporan yang diterima, mangsa yang tertipu dengan taktik licik sindiket scam itu terdiri daripada mereka yang bekerja dalam bidang profesional seperti jurutera, pegawai kerajaan dan eksekutif syarikat.
Jelasnya, kesemua mangsa yang terlibat merupakan tujuh lelaki dan lima wanita dan berusia dalam lingkungan 21 hingga 65 tahun.
“Berdasarkan laporan, kesemua mangsa menerima panggilan telefon daripada kononnya dari pihak bank, pegawai polis dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengatakan mereka mempunyai hutang, saman atau tunggakan bayaran kepada bank.
“Mereka terpedaya apabila sindiket ini menyambungkan talian kepada bahagian yang berkenaan untuk menyakinkan mangsa agar memindahkan wang ke satu akaun sebagai syarat untuk terlepas daripada hutang, saman atau bayaran bank,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, polis telah menyiasat akaun bank yang digunakan untuk transaksi pemindahan wang daripada mangsa namun, sindiket itu menggunakan akaun bank individu lain untuk kegiatan tersebut.
Jelasnya, beliau menganggap kes jenayah komersial melibatkan penipuan secara dalam talian di daerah ini amat serius ekoran ia melibatkan jumlah kerugian yang besar untuk 12 kes.
“Begitu mudah sindiket ini menipu dengan hanya menakut-nakutkan mangsa dan mereka mendapat wang yang banyak. Justeru, saya menggesa orang ramai agar tidak memberikan maklumat peribadi anda terutamanya sewaktu menerima panggilan yang mencurigakan.
“Setakat ini, polis sedang giat untuk mengesan dalang sindiket ini dan memerlukan sedikit masa ekoran maklumat yang diperoleh agak terhad,” katanya. – K! ONLINE











