KUALA LUMPUR 28 Mei – Polis Diraja Malaysia mempunyai senarai tekong terlibat dalam jenayah rentas sempadan dan akan mengambil tindakan terhadap mereka.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, walaupun pihaknya telah mengetatkan kawalan di pintu sempadan dan perairan negara, namun dengan adanya senarai tekong yang telah dikenalpasti ini dapat menjadikan tindakan yang diambil akan lebih berkesan.
“Fokus kita sebenarnya adalah kepada tekong-tekong, kita ada senarai tekong-tekong ini.
“Saya dapat jaminan daripada ketua polis negeri berhubung senarai tekong ini, mereka ada nama… dah kenal pasti, jadi akan ada tindakan yang diambil, namun saya tak boleh dedahkan apa jenis tindakan tetapi ia adalah sangat efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya Polis Diraja Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Bukit Aman di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansur dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryll Sani Abdullah Sani.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid mengesahkan siasatan ke atas seorang bekas Asisten Superintenden yang dipenjarakan tiga bulan atas kesalahan berkaitan dadah dua tahun lalu, Saiful Bahari Yunus, 36, adalah mengikut prosedur yang sepatutnya.
“Saya difahamkan bahawa proses siasatan yang dijalankan dalam kes tersebut adalah tersusun dan tindakan yang diambil terhadapnya adalah mengikut undang-undang.
“Hukuman yang dijatuhkan terhadapnya itu juga adalah telus dan adil, sekiranya dia (Saiful Bahari) masih tidak berpuas hati, tiada halangan untuk dia teruskan perjuangannya itu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











