LOMBOK (Indonesia), 28 Mei – Kira-kira 400 penduduk Kampung Dusun Dasan Baru, di Lombok Timur bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba tidak lama lagi di sebuah masjid baharu yang lebih selesa.
Lebih bermakna pembinaan masjid yang menelankan kos RM100,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi Tabung Gempa Lombok yang diwujudkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyCare dan Pasar Raya Econsave itu dilaksanakan secara bergotong-royong.
Pembinaannya yang bermula seminggu lalu dijangka siap dua hari sebelum ketibaan 1 Syawal.

Menurut Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam, pada misi kemanusiaan kali kedua ini, pihaknya menyumbangkan kira-kira RM150,000 kepada mangsa gempa di beberapa kampung, khususnya yang tidak pernah menerima sumbangan sejak bencana alam itu hampir setahun lalu.
“Bagi pembinaan masjid ini, kita menyampaikan sumbangan hasil kutipan tabung berkenaan kira-kira RM100,000.
“Kita harap masjid ini bukan sahaja akan menjadi tempat ibadah, malah sebagai pusat aktiviti masyarakat memandangkan kampung ini agak jauh ke dalam,” katanya selepas merasmikan pembinaan Masjid Ar Rahmah Nurul Iman, sini semalam.

Pada majlis itu, 14 ahli rombongan terdiri daripada NGO dan wakil media yang diketuai Pengerusi MyCare Johor, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar disambut meriah oleh kira-kira 400 penduduk termasuk kenduri sekampung dengan menyembelih seekor lembu dan seekor kambing untuk juadah berbuka puasa.
Pihak MyCare dan Econsave turut menyampaikan barangan keperluan harian kepada 100 keluarga dan pek makanan bagi golongan kanak-kanak.
Sementara itu, Mohd. Zin berkata, pihaknya turut membeli peralatan seperti kipas, jam elektronik dan sistem audio untuk masjid baharu berkenaan.
Menurutnya, MyCare dengan kerjasama daripada rakannya di Indonesia, PKPU Human Initiative akan terus memantau pembinaan itu bagi memastikan masjid tersebut dapat disiapkan sebelum sambutan Lebaran ini.
Ketua Kampung Dusun Dasan Baru, Suherman Urun pula sebak semasa menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan bagi pembinaan masjid yang diterima daripada rakyat Malaysia.
Menurutnya, masjid baharu itu dibina di atas tapak masjid lama yang roboh semasa kejadian gempa tahun lalu.
“Dengan adanya sumbangan ini, semangat kami untuk meneruskan hidup seperti sudah kembali.
“Kita harus yakin akan dapat bangkit semula dan meneruskan kehidupan pada masa depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











