KUALA LUMPUR 28 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran tujuh pegawai kanannya berkuat kuasa 1 Julai depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, mendahului pertukaran adalah Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri yang akan menggalas tugas baharu sebagai Ketua Urus Setia KPN (Perundangan) PDRM, Urus Setia Pejabat KPN Bukit Aman.
Menurutnya, kekosongan jawatan Mohd. Azman nanti akan diisi oleh Ketua JSJ Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.
“Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) (Perancangan Strategik) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Ariff Md. Hanuddin akan dilantik sebagai Penolong Pengarah Hal Ehwal Pesara Polis, Cawangan Hal Ehwal Pesara Polis, Bahagian Urusetia/ Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
“Penolong Pengarah Hal Ehwal Pesara Polis, Cawangan Hal Ehwal Pesara Polis, Bahagian Urusetia/ Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Dalila Mohd. Yasin pula akan mengambil alih jawatan Mohd. Ariff,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar Nor Asmawati, Pegawai Turus E3F Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd. Faisal Yahya akan ditukarkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon II.
“Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Sabah, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir akan memegang jawatan baharu sebagai Pegawai Pemerintah Batalion 20 Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am, Jabatan KDNKA Beluran, Sabah.
“Selain itu, Pegawai Pemerintah Batalion 20 Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am, Jabatan KDNKA Beluran, Sabah, Asisten Komisioner Rantan Kumar Singh Jainu akan mengambil alih tugas Mohd. Nasaruddin sebagai Ketua Jabatan KDNKA Sabah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











