KUALA LUMPUR 28 Mei – RHB Bank Berhad merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM630.2 juta, naik 6.7 peratus tahun ke tahun terutama disebabkan kerugian kredit yang dijangka ke atas pinjaman dan aset kewangan lain serta perbelanjaan operasi yang lebih rendah.
Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pendapatan berasaskan dana kasar meningkat sebanyak 8.5 peratus tahun ke tahun disebabkan peningkatan pinjaman dan pembiayaan kasar sebanyak 5.6 peratus.
Katanya, pembiayaan dan perbelanjaan faedah adalah 18.3 peratus lebih tinggi disebabkan oleh kesan penuh kos deposit apabila kadar dasar semalaman (OPR) meningkat pada akhir Januari 2018.
“Kumpulan memulakan 2019 dengan keputusan yang baik seperti ditunjukkan oleh pertumbuhan 6.7 peratus dalam keuntungan bersih.
“Walau bagaimanapun, kami tetap berhati-hati sepanjang tahun memandangkan persekitaran operasi yang mencabar dijangka berterusan di sebalik latar belakang ekonomi global yang semakin perlahan dan ketegangan perdagangan.
“Kami akan mengekalkan tumpuan kami untuk menegakkan dasar-dasar yang kukuh dan berhemat dalam menguruskan perniagaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Khairussaleh berkata, pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan berkembang 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM170.1 bilion disokong oleh pertumbuhan dalam gadai janji dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Beliau berkata, setakat Mac 2019, penguasaan pasaran bagi pinjaman domestik berada pada paras 9.1 peratus.
“Deposit pelanggan meningkat 9.5 peratus kepada RM186.9 bilion, menyumbang kepada nisbah perlindungan kecairan yang sihat sebanyak 155.3 peratus.
“Jumlah keseluruhan akaun simpanan dan akaun semasa (CASA) berada pada kadar 24.5 peratus daripada keseluruhan deposit,” katanya.
Tambah beliau, kumpulan akan terus melabur dalam keupayaan digital dan mengubah model operasi melalui cara kerja ‘Agile’, yang bertujuan memupuk inovasi, meningkatkan pengalaman pelanggan dan mencapai kecekapan dan produktiviti operasi.











