PUTRAJAYA 28 Mei- Jumlah kes melibatkan penipuan perniagaan dalam talian semakin meningkat dan mencetuskan kebimbangan kerana kini berada di kedudukan kedua carta aduan selepas laporan mengenai kenaikan harga barang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap bulan pihaknya menerima sebanyak 25 peratus aduan mengenai penipuan perniagaan dalam talian.
“Dahulu, aduan pengguna tentang penipuan perniagaan dalam talian berada pada kedudukan ke tujuh atau lapan, tetapi kini sudah berada di posisi kedua di belakang aduan peningkatan harga barang.
“Setiap bulan, secara purata kita menerima 25 peratus aduan daripada pengguna, ia bergerak laju dan aduan mengenai kenaikan harga barang pula kekal 35 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu Saifuddin Nasution menyampaikan ucaptama dalam Forum Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan anjuran International Strategy Institute (ISI) di sini.
Menurut Saifuddin Nasution, sektor e-dagang ketika ini adalah satu trend perniagaan yang tidak boleh di sekat dan peniaga dalam talian juga tidak terikat untuk mengamalkan etika perniagaan yang sihat.
Katanya, situasi berkenaan menyebabkan jumlah kes penipuan perniagaan dalam talian semakin meningkat dan bila-bila masa sahaja boleh menduduki kedudukan pertama mengatasi aduan mengenai kenaikan harga barang. – SUTUSAN ONLINE











