KUALA LUMPUR 28 Mei – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya diminta membayar bagi perlindungan PIDM.
Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, ini kerana perlindungan yang disediakan kepada pendeposit bank, pemegang sijil takaful dan polisi insurans oleh PIDM adalah secara automatik dan percuma.
Katanya, terdapat peningkatan aduan diterima daripada orang ramai yang diminta membayar bagi perlindungan PIDM pada tahun ini.
Jelas beliau, dalam kebanyakan kes, pengadu diminta membayar untuk ‘mengaktifkan’ perlindungan bagi menerima dana, biasanya dalam bentuk pinjaman, daripada pihak ketiga.
“Kebanyakan insiden ini melibatkan individu yang memohon pinjaman menerusi pemberi pinjaman wang dan direkodkan menerusi pertanyaan yang diterima melalui pusat panggilan dan emel PIDM.
“Pengadu diminta membayar yuran pentadbiran dan guaman dan dalam sesetengah kes, bayaran berasingan untuk mendaftar akaun bank baharu sebelum pinjaman dikeluarkan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











