KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan tiga buah bas gagal mematuhi piawaian selepas melakukan pemeriksaan terhadap 72 buah bas dalam Ops Sisih sempena hari raya Aidilfitri 2019 bermula Rabu lalu.
Pengarahnya, Mahasan Mustapa berkata, pemeriksaan melibatkan lima syarikat bas yang berakhir hari ini itu mendapati sebanyak 69 buah bas menepati piawaian ditetapkan.
Katanya, bas tersebut diperiksa dari pelbagai sudut membabitkan teknikal dari segi brek, lampu dan tayar selain kemudahan lain seperti tangga keselamatan dan pintu kecemasan.
“Jika pemeriksaan tidak lulus seperti tayar botak pihak JPJ akan memberi kelonggaran untuk diperbaiki yang diberi tempoh selama dua minggu.
“Antara mereka terlibat dalam Ops Sisih ini adalah lima pegawai dari JPJ dan Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan di ibu pejabat bas syarikat Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) di Panji, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.
Sementara itu dalam perkembangan lain Mahasan berkata, pada tahun 2018 sebanyak 136 bas diperiksa dengan keputusan 126 lulus dan 10 bas ekspres gagal memenuhi piawaian.
“Keseluruhan peratusan gagal makin menurun menunjukkan pengusaha bas ekspress mengambil inisiatif penambaikan, beri perhatian dan komitmen yang tinggi untuk mematuhi spesifikasi yang JPJ tetapkan,” ujarnya.
Sementara itu, Che Ibrahim berkata, bagi menghadapi musim perayaan tahun ini, pihaknya telah mempersiapkan 180 pemandu E-Mutiara dari segi mental serta fizikal sempena menjelang perayaan dan selepas raya.
Katanya, pemandu-pemandu itu turut diteliti pada tahap kesihatan diri, mendapat rehat yang cukup pemeriksaan bahan terlarang.
“Perkara ini bagi perlu dititik berat bagi memastikan perjalanan pengguna bas ekspress syarikat itu berada dalam keadaan terbaik bagi pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, minggu depan.
“Pihak E- Mutiara turut menambah tiga lagi bas tambahan sempena perayaan tahun ini bagi laluan utama Kuala Lumpur- Kota Bharu,” ujarnya. – K! ONLINE











