JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan terutamanya rokok seludup, arak serta mercun membabitkan 1,992 kes dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.
Statistik kes ini meningkat sebanyak 26 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 1,554 kes.
Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, nilai rampasan tahun ini turut meningkat sebanyak 117 peratus iaitu RM33.39 juta tempoh yang sama tahun lalu kepada RM72.53 juta.
“Kejayaan ini adalah hasil tindakan agresif PPM dalam membanteras aktiviti penyeludupan di seluruh negara seiring dengan seruan kerajaan untuk mengekang aktiviti haram ini.
“Ini adalah bukti kita kepada kerajaan yang mana kita mampu menangani masalah-masalah penyeludupan yang merugikan kerajaan yang dikatakan pihak luar buat penyelidikan kerajaan rugi sebanyak RM5 bilion setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Penerimaan Rasmi Lima Buah Bot Amphibian Humdinga di PPM Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.
Hadir merasmikan majlis ialah Timbalan Pengarah 1, Jabatan StaRT Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd. Manan.
PPM menerima lima buah bot dua alam, Amphibian Humdinga daripada syarikat Aero Art yang berpengkalan di United Kingdom, London menjadikan enam unit membabitkan kos RM29.5 juta. -K! ONLINE.











