LONDON 28 Mei – Harry Kane kini diberikan kepercayaan untuk berada dalam senarai 23 pemain skuad England bagi aksi Liga Negara-Negara bulan depan selepas pemain itu mengesahkan dia sudah pulih sepenuhnya.
Bagaimanapun dua rakan sepasukannya di Tottenham, Harry Winks dan Kieran Trippier terpaksa diketepikan begitu juga pemain Southampton, James Ward-Prowse dan Nathan Redmond turut disisihkan selepas pengurus England, Gareth Southgate mengecilkan senarai pemain daripada senarai awal.
Dalam masa sama tujuh pemain daripada senarai 23 berkenaan dilihat akan terlibat sewaktu aksi akhir Liga Juara-Juara di Madrid pada Ahad ini.
Kata Southgate, situasi berkenaan membuatkan dia sedikit sukar untuk membuat pilihan selain mengharap kesemua pemain yang terlibat dalam saingan akhir Liga Juara-Juara berkenaan tidak pulang dengan kecederaan.
England di jadual bertemu Belanda di separuh akhir Liga Negara-Negara di Guimaraes, Portugal, pada Khamis minggu hadapan.
“Timbul beberapa kesukaran dalam membuat keputusan dan jelas ia sedikit rumit selepas agak ramai pemain terlibat dalam saingan akhir Liga Juara-Juara namun kami semua tetap teruja dengan skuad dan pemain yang disenaraikan ini.
“Ada beberapa pemain yang sebelum ini bersama kami sepanjang tempoh latihan namun terpaksa menggugurkan mereka kerana kami mengecilkan skuad kepada 23 pemain.
“Harry Winks juga pemain yang saya amat gemar turunkan tetapi adalah sukar kerana dia sudah tidak bermain selama beberapa bulan dan kami tidak melihatnya menjalani latihan,” katanya. – AFP











