SHAH ALAM 28 Mei – Proton Exora 2019 dengan wajah baharu dilancarkan hari ini dengan tawaran harga serendah RM59,800 bagi model Executive 1.6 T CVT termasuk harga atas jalan.
Bagi varian Premium 1.6T CVT pula, harga yang ditawarkan adalah pada RM66,800.
Majlis pelancaran itu diadakan di Pusat Kecemerlangan Proton di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed.
Chunrong dalam ucapannya memberitahu, pelbagai ciri menarik ditawarkan pada kali ini termasuk komunikasi pintar di antara pemandu dengan kenderaan yang dinaiki.

Selain itu, katanya, Proton juga menawarkan kemudahan internet percuma dengan kapasiti satu Gigabit sebulan selama lima tahun.
“Kedua-dua model baharu ini amat tepat untuk keluarga pulang ke kampung halaman pada musim perayaan ini.
“Mereka yang mendaftar pada tahun ini akan mendapat kos upah buruh percuma selama lima tahun dan dua tahun cukai jalan percuma untuk kenderaan persendirian,” katanya. – UTUSAN ONLINE











