Program dua dalam satu Parlimen Paya Besar - Utusan Malaysia

Program dua dalam satu Parlimen Paya Besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 28 Mei – Konsep santai dan suasana kekeluargaan menjadi pendekatan Pejabat Parlimen Paya Besar untuk mendekati kepemimpinan masyarakat di peringkat akar umbi di samping meraikan golongan yang memerlukan bantuan.

Mengambil kesempatan kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, mereka menganjurkan majlis berbuka puasa bersama kedua-dua golongan itu di Jaman Tory Resepi Indera Mahkota di sini semalam.

Selain pemimpin masyarakat akar umbi, seramai 41 kanak-kanak kurang berkemampuan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching turut diraikan dalam majlis tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kanak-kanak itu kemudian dibawa membeli baju raya di Bazar Hari Raya di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini yang mana mereka dibenarkan memilih sendiri pakaian sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

AHLI Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah (baju Melayu berwarna biru) dan Penyelaras Dewan Und
AHLI Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah (baju Melayu berwarna biru) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar (tiga dari kiri) membantu kanak-kanak daripada kurang berkemampuan memilih baju raya di Bazar Hari Raya di pekarangan Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang malam tadi. – UTUSAN ONLINE

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah berkata, program itu merupakan siri keterlibatan yang diadakan untuk bertemu dengan pemimpin masyarakat dan meraikan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Beliau berkata, ia antara lain bertujuan mendengar pelbagai perkara dan permasalahan yang berlaku di peringkat akar umbi.

“Minggu lepas kita bertemu pemimpin muda dalam Parlimen Paya Besar dan dapat melihat isu yang mereka suarakan berbeza dengan yang diutarakan oleh pemimpin dewasa atau ‘orang lama’.

“Jika saya kumpulkan semua peringkat pemimpin masyarakat ini dalam satu program keterlibatan, mungkin tidak ada persamaan dari segi pemikiran dan pandangan yang akhirnya mungkin ada suara diabaikan. Menerusi konsep seperti ini, ia lebih santai dan muhibah,” katanya pada majlis tersebut.

Yang hadir sama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar.

Menurut Mohd. Shahar, selepas ini pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin wanita bagi tujuan serupa.

Katanya, isu-isu dan pandangan yang dikutip dalam pertemuan berkenaan akan dibincangkan dan dibawa ke sidang kedua Dewan Rakyat Julai ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya meraikan kanak-kanak kurang berkemampuan dalam majlis tersebut bagi menyuntik keriangan dan menceriakan mereka menjelang sambutan Aidilfitri.

“Setiap kali Syawal, golongan kurang bernasib baik terutama kanak-kanak pastinya tidak dilupakan.

“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban dan membolehkan penerima merasai nikmat berhari raya dengan lebih bermakna serta menyemarakkan keindahan Ramadan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini