KUALA LUMPUR – Sejumlah 95,111 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima Bantuan Harapan Negara (BHN) berjumlah RM500 seorang mulai semalam sebagai usaha berterusan kerajaan menjaga kebajikan golongan itu.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pembayaran bantuan peringkat pertama itu membabitkan peruntukan sebanyak RM47.5 juta kepada veteran berpencen dan tidak berpencen.
“Pembayaran inisiatif ini diharap dapat meringankan sedikit bebanan veteran yang terbabit terutama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.
“Veteran ATM yang telah menerima surat daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dimohon untuk mengemas kini maklumat berkaitan dengan nombor kad pengenalan baharu dengan menghubungi pusat panggilan JHEV ATM bagi memudahkan proses kelulusan BHN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan di Wisma Kementerian Pertahanan di sini semalam. – Bernama
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











