KEMAMAN 27 Mei – Seorang pemandu jentera penggelek terpaksa menahan kesakitan hampir tiga jam selepas jentera yang dikendalikannya hilang kawalan sebelum terbalik di Bukit Jemalang di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa, Che Ku Mohd. Jofizal Che Ku Sin, 38, cedera pada kaki kirinya akibat terhimpit bumbung jentera yang terbalik.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba Azmi Ab. Rahim berkata, kejadian dipercayai berlaku setelah jentera yang dipandu mangsa terbalik ketika melalui lereng bukit di lokasi kejadian.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.58 petang.
“Kejadian berlaku kira-kira satu kilometer dari jalan utama.
“Setibanya di lokasi kejadian mangsa sedang menahan kesakitan dengan kaki kirinya tersepit pada bumbung jentera dan pihak kami terus melancarkan operasi mengeluarkan mangsa,” katanya.
Menurut Azmi, Bomba berdepan kesukaran berikutan persekitaran lokasi yang tidak rata di samping keadaan jentera yang seberat 40 tan.
“Kita terpaksa menggunakan dua buah jentera pengorek untuk mengangkat jentera penggelek terbabit.
“Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dari jentera yang terbalik pada pukul 7.54 malam dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE











