Empat individu ditahan terlibat sindiket pemutihan palsu PATI - Utusan Malaysia

Empat individu ditahan terlibat sindiket pemutihan palsu PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk seorang wanita warganegara asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia terhadap sebuah syarikat tempatan yang menawarkan program pemutihan palsu untuk pendatang asing tanpa izin di Kawasan Perniagaan Desa Ria, Seri Kembangan, Selangor pagi tadi.

Operasi yang dijalankan pada pukul 10.30 pagi itu disertai oleh sepasukan anggota dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia dan Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdangangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tiga lelaki warganegara tempatan yang terdiri daripada dua orang pengarah syarikat dan seorang pengurus pemasaran telah ditahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seorang wanita warganegara Indonesia pula ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas bekerja di premis tersebut.

“Modus operandi syarikat tersebut adalah menggunakan saluran laman media sosial yang menyasarkan majikan dan PATI untuk mendaftar dengan mereka dan sejumlah bayaran akan dikenakan sebagai deposit untuk menyertai program pemutihan yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia merupakan satu penipuan kerana program penggajian dan penempatan semula pendatang asing tanpa izin (PATI) atau program rehiring telah tamat pada 30 Jun tahun lalu dan tidak lagi disambung.

Khairul Dzaimee menambah, hasil siasatan mendapati berlakunya unsur penipuan berdasarkan penemuan 29 pasport milik warga asing, resit pendaftaran dan iklan berkaitan program itu yang seterusnya dirampas.

“Pihak Imigresen bahawa syarikat tersebut telah menjalankan aktiviti berkenaan sejak Februari lalu dan mereka juga telah mengaut keuntungan dengan mendaftar sebilangan besar PATI bagi program itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 56(1)(f) Akta Imigresen 1959/63 kerana membuat laporan, kenyataan atau representasi palsu,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan majikan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran sebegini dan perlu merujuk kepada pihak Imigresen bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

“Amaran tegas diberikan terhadap mana-mana syarikat agensi pekerjaan yang terlibat dalam aktiviti penipuan sebegini untuk menghentikannya atau akan berdepan tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

“JIM bersama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa menjalankan pemeriksaan terhadap syarikat berkaitan bagi memastikan tiada lagi majikan dan warganegara asing yang tertipu,” katanya.

Majikan juga dinasihatkan untuk membuat laporan polis jika didatangi mana-mana syarikat atau individu berkaitan pendaftaran program pemutihan PATI. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini