KUALA LUMPUR 27 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan sama ada masih adakah keadilan bagi merujuk kepada kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Bekas Perdana Menteri turut menzahirkan kekecewaan selain meminta rakyat Malaysia mendoakan untuk Allahyarham Muhammad Adib.
“Masihkah ada keadilan di negara ini?
“Doakan untuk arwah Adib,” katanya ringkas menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.
Memetik laporan Malaysiakini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyifatkan peranan peguam Syazlin tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues itu.
Kata Zuraida, ini kerana Peguam Negara bertindak mewakili kerajaan termasuk kementeriannya serta JBPM.
Najib dalam hantaran berlainan turut menyindir tindakan penarikan peguam itu meskipun sudah beberapa bulan terlibat dalam prosiding inkues berkenaan.
“Setelah berbulan bertindak untuk kementerian dan JBPM dan setelah testimoni dari pakar United Kingdom (UK) mereka bercanggah dengan testimoni pakar-pakar lain.
“Akhirnya, menteri mendapati tak perlu peguam itu lagi kerana sudah ada Peguam Negara untuk mewakili kementerian dan JBPM,” katanya. – UTUSAN ONLINE











