PARIS 27 Mei – Juara bertahan, Rafael Nadal memulakan pemburuannya untuk melebarkan rekod kemenangan yang ke-12 pada kejohanan tenis Terbuka Perancis, dengan sempurna apabila dia tidak berdepan masalah mengetepikan pemain yang beraksi dalam pusingan kelayakan dari German, Yannick Hanfmann pada pusingan pertama di Roland Garros, hari ini.
Pemenang 17 kali Grand Slam itu meneruskan kemaraan dengan kemenangan 6-2, 6-1, 6-3 di Gelanggang Philippe Chatrier, untuk mencatat pertemuan menentang seorang lagi pemain Jerman yang beraksi di pusingan kelayakan, Yannick Maden pada pusingan kedua.
Nadal sebelum ini terkandas pada separuh akhir sebanyak tiga kali berturut-turut bagi musim gelanggang tanah liat, tetapi dia kelihatannya semakin mendapatkan prestasi terbaik setelah menundukkan seteru lama, Novak Djokovic bagi merangkul gelaran Terbuka Itali.
“Dapat bermain di sini adalah sesuatu yang mengagumkan, gelanggang Chatrier sangat bagus. Ini adalah tempat yang penting untuk karier saya. Saya bermain baik di Rome dan kemenangan di sana amat penting untuk meningkatkan keyakinan saya. Sekarang kita tunggu dan lihat,” kata Nadal yang diletakkan selaku pilihan kedua. – AFP











