Perhilitan mungkin dakwa remaja tembak monyet dalam sangkar - Utusan Malaysia

Perhilitan mungkin dakwa remaja tembak monyet dalam sangkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diminta melihat kemungkinan mengenakan tuduhan terhadap seorang remaja yang menembak mati seekor monyet dalam sangkar di Lambor Kira, Bota, Perak, pada 18 Mei lalu.

Tangkap layar rakaman video seorang remaja menembak seekor monyet yang tular dalam media sosial baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, beliau telah meminta Jabatan Perhilitan melihat perundangan yang sedia ada untuk membolehkan tindakan diambil terhadap remaja berusia 19 tahun itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau mengulas perbuatan kejam remaja tersebut yang menembak kepala seekor monyet yang terkurung dalam sangkar seperti yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Berikutan insiden itu, remaja berkenaan dan bapanya berusia 54 tahun yang juga pemilik senjata api berkenaan ditahan polis untuk membantu siasatan lanjut.

Xavier berkata, beliau dimaklumkan polis telah melengkapkan siasatan dan telah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwa Raya.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 20 saat menjadi tular yang memaparkan seorang remaja lelaki menembak seekor monyet dalam sangkar kerana enggan bercakap ‘baby sayang’.

Menerusi rakaman video, lelaki itu mengugut dan menyuruh seekor monyet bercakap perkataan ‘baby sayang’ dan menembak monyet itu kerana tidak berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Xavier berkata, kerajaan bercadang untuk memulakan proses pemetaan digital bagi mengenal pasti sumber air mentah bawah tanah di seluruh negara.

“Kajian menunjukkan Malaysia mempunyai lima bilion meter padu sumber air bawah tanah dan sumber yang belum diteroka itu sebagai alternatif bagi mengatasi kekurangan bekalan air,” katanya kepada media di sini hari ini.

Menurut beliau, proses pemetaan digital akan dimulakan di neger-negeri yang mempunyai banyak sumber air mentah bawah tanah seperti Johor, Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya perlu mendapatkan teknologi pemetaan digital tersebut daripada Jepun.

“Saya bercadang pergi ke Jepun bulan depan bagi mendapatkan kerjasama kerajaan Jepun dalam bidang ini,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini