Balai dan kuarters PDRM di Lembah Pantai terima dana - Utusan Malaysia

Balai dan kuarters PDRM di Lembah Pantai terima dana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Sebanyak tiga buah balai polis dan kuarters dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai menerima dana peruntukan keseluruhan RM200,000 bagi membaik pulih infrastruktur yang semakin uzur.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, setiap balai dan kuarters yang terlibat menerima sumbangan sebanyak RM50,000 masing-masing.

“Peruntukan berkenaan bagi manfaat balai terlibat iaitu Balai Polis Travers, Pantai dan Petaling serta kuarters Bukit Aman.

“Buat pertama kalinya peruntukan seumpama ini disalurkan Pejabat Parlimen Lembah Pantai bagi membaik pulih infrastruktur dan fasiliti warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya di Majlis Iftar MyCommunity@Care di Masjid Bukit Aman di sini.

Pada majlis tersebut seramai 50 orang anggota polis yang mengalami penyakit kronik menerima sumbangan hamper dan wang tunai berjumlah RM200 seorang.

Hadir sama ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, Timbalan Ketua Polis, Datuk Mazlan Mansor dan Pengarah-Pengarah Jabatan Polis DiRaja Malaysia.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, bantuan dana ini diharapkan dapat membantu memperbaiki kerosakan balai polis dan kuarters PDRM di Lembah Pantai yang telah dikenal pasti.

“Setiap ketua balai yang terlibat akan mengenal pasti segala kerosakan dan keuzuran yang dialami kawasan terbabit terlebih dahulu untuk dibaiki.

“Diharapkan peruntukan tersebut dapat menceriakan balai dan kuarters yang ada sebagai tanggungjawab sosial saya kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengucapkan jutaan terima kasih atas bantuan yang diberikan dan mewakili warga PDRM beliau amat berbesar hati dengan keprihatinan Ahli Parlimen Lembah Pantai. – UTUSAN ONLINE

Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini