Iman Danial dijangka jalani pembedahan tulang belakang esok  - Utusan Malaysia

Iman Danial dijangka jalani pembedahan tulang belakang esok 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang itu, Iman Danial Abdullah, 17, yang mengalami kecederaan tulang belakang selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas henti-henti di Jalan Kuala Kelawang – Seremban dekat Bukit Tangga di sini pada 23 Mei lalu dijangka menjalani pembedahan esok.

Ia ekoran wang hasil sumbangan orang ramai yang disalurkan melalui badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Generasi Prihatin (Gen-P) bagi membantu pelajar itu sejak pukul 6.30 petang semalam telah mencukupi bagi menampung kos pembedahan sebanyak RM7,000.

Pengerusi Gen-P, Mohd. Faizal Zainuddin berkata, wang sumbangan orang ramai tersebut telah diserahkan kepada penjaga anak yatim piatu itu iaitu ibu saudaranya, Siti Khatijah Abdul Manaf, 63, di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keseluruhan sumbangan diterima sebanyak RM25,000. Kami serahkan sumbangan kepada Iman Danial sebanyak RM15,000. Selebihnya kami berikan kepada dua lagi pelajar yang turut mengalami kecederaan dalam kemalangan itu atas persetujuan penjaga Iman Danial,” katanya ketika dihubungi Kosmo!  Online di sini hari ini.

Terdahulu Kosmo! Online hari ini melaporkan Iman Danial yang merupakan pelajar jurusan Teknologi Elektrik Kolej Vokasional Kuala Klawang berisiko lumpuh separuh badan akibat mengalami kecederaan parah pada tulang belakang dalam kemalangan tersebut. 

Kemalangan kira-kira pukul 4 petang pada 23 Mei lalu itu menyebabkan seorang pelajar Vokasional Kuala Klawang maut, manakala berpuluh lagi pelajar kolej itu dan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang cedera.

Pelajar yang maut ialah Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17, yang berasal dari Kuala Selangor dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh pihak polis.

Ketika kejadian, kesemua pelajar terbabit menaiki bas itu menuju ke Terminal Satu Seremban untuk pulang kampung halaman masing-masing sempena cuti semester dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Faizal berkata, sebanyak RM5,000 daripada sumbangan orang ramai itu diberikan kepada Elia Ariana Khafizan yang retak pada bahagian tengkuk, manakala RM5,000 lagi diberikan kepada Nurin Ainun Nabilah Fauji.

Menurut beliau, Nurin Ainun Nabilah patah tulang pinggul serta tulang rusuk dan kedua-dua pelajar perempuan Kolej Vokasional Kuala Klawang itu berusia 17 tahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini