KUANTAN 27 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mempertingkatkan rondaan di musim perayaan Aidilfitri ini bagi memastikan keselamatan perairan negara terkawal.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, rondaan itu termasuk bagi mengelakkan perairan negara digunakan secara sewenang-wenangnya oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke negara mereka.
“Rondaan ini akan dilakukan secara bersepadu membabitkan pasukan keselamatan lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Imigresen.
“Kita memandang serius dan mengambil berat isu PATI ini, bahkan mesyuarat khas Kabinet baru-baru ini turut membincangkan berhubung perkara ini (PATI),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bungkusan Hari Raya di Kapal KD Pahang di perairan Laut China Selatan di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian apabila diminta mengulas berhubung rondaan di kawasan perairan negara pada musim perayaan Aidilfitri ini khususnya bagi mengekang PATI.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd. Zuki Ali, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd. Ajis.
Terdahulu, Mohamad diberi taklimat berhubung Latihan Tioman War 3/19 yang berlangsung bermula semalam sehingga hari ini melibatkan sembilan kapal TLDM. – UTUSAN ONLINE











