KUALA LUMPUR 27 Mei – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim kurang senang dengan kenyataan jurulatih pecut, Poad Kassim yang sudah mengaku kalah lebih awal bahawa Malaysia tidak mampu lagi mempertahankan pingat emas 100 meter pada Sukan SEA Filipina, November ini.
“Kenyataannya itu menjatuhkan semangat atlet negara yang berlatih di bawah bimbingannya dan menyalahi etika seorang jurulatih. Itu tidak baik dan dia tidak patut buat begitu.
“Sebagai orang Malaysia, kita jangan mengaku kalah terlebih dahulu, lawanlah habis-habisan, belum tahu lagi (keputusannya di Filipina).
“Acara 100m ini acara glamor, kita kena fikir dengan serius dan bersatu serta bekerjasama jika hendak berjaya,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN)-KOM di MSN, Bukit Jalil hari ini.
Poad dikatakan mengaku kalah selepas kejayaan pelari Indonesia, Lalu Zohri yang mencatat 10.03 saat pada bulan ini untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 dalam Grand Prix Emas di Osaka, Jepun.
Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan bahawa Dwayne Miller dari Amerika Syarikat menjadi antara warga asing yang dicalonkan sebagai ketua jurulatih pecut olahraga negara.
Miller ialah jurulatih yang pernah membantu LaShawn Merritt merangkul dua pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008 dalam acara 400 meter dan 4x100m dengan mencatat rekod temasya itu.
Nama Miller dicadangkan oleh KOM setelah calon asal, David Patrick ditolak MSN baru-baru ini.
“MSN dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) juga bersetuju melantik Naib Presiden kesatuan, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar sebagai penyelaras program latihan atlet khususnya pecut dan acara lontar,” katanya.
Kata Karim, “kita tengok dulu macam mana (khidmat dan prestasi Miller), kita harapkan yang terbaik sebab tidak jadi macam jurulatih dulu yang hanya bertahan enam bulan atau selepas Sukan SEA sahaja.
“Lebih 30 tahun saya bersama KOM dan tidak pernah nampak atlet pecut negara yang sebegitu ramai seperti sekarang dan kita harap kita tidak kehilangan bakat mereka begitu sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE











