KUALA LUMPUR 27 Mei – Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan, bekas ketua jurulatih karate negara, Andris Vasiljevs akan kembali dengan hanya membimbing atlet kontroversi, Syakilla Salni Jefri Krisnan.
Katanya, khidmat secara jangka pendek warga Latvia itu turut diletakkan prasyarat tertentu antaranya Syakilla hanya boleh beraksi dalam kategori asal kegemarannya, bawah 55 kilogram dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini dan jika layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
“Sebagai kayu ukur pertama, Syakilla kena turunkan berat badannya sekarang daripada lebih 60kg sehingga boleh beraksi dalam 55kg pada Kejohanan Serie A di Tokyo, September ini. Jadi dia ada masa yang secukupnya, empat bulan dari sekarang.
“Syakilla juga kena berlatih di pusat latihan asalnya di Selangor dengan kerjasama seorang jurulatih tempatan, Prem. Di sana juga ada rakan sepelatihnya dan dia akan sertai beberapa kejohanan dalam masa terdekat sebagai pendedahan.
“Jika gagal lagi, kami akan hentikan segala program jangka pendek ini buatnya,” katanya di MSN Bukit Jalil hari ini.
Khidmat Vasiljevs sudah tidak disambung MSN dan Makaf lagi sejak Disember lalu ekoran kegagalan skuad negara meraih pingat emas daripada Sukan Asia di Indonesia, tahun lalu.
Shapawi menambah, bekas juara Sukan Asia Incheon 2014 itu juga kini berdepan misi getir untuk layak ke Olimpik Tokyo sejak terlepas peluang pertama kelayakan kerana tidak berada di antara ranking terbaik dunia gara-gara berat badannya yang berlebihan dan tidak menyertai beberapa kejohanan.
“Kalau pun dia menang semua kejohanan sekarang, pungutan matanya sudah tidak dapat mengejar tetapi mungkin hanya boleh memperbaiki ranking semasa dan membantu status pilihan (seeding).
“Hanya tinggal Piala Dunia di Perancis, Mei tahun depan yang perlu disertainya dengan hanya tiga atlet teratas di situ, akan layak ke Olimpik dalam peluang kelayakan kedua itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











