JOHOR BAHRU 27 Mei – Pelantikan Mazlan Bujang sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang baharu diharap tidak akan mencetuskan sebarang masalah hubungan antara pemimpin parti itu di negeri ini.
Harapan itu dizahirkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu kerjasama dan perpaduan menjadi pegangan kepada semua pihak di kalangan pemimpin dan ahli parti.
Beliau juga berharap ia tidak menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal sekali gus perlu mendapat sokongan padu daripada seluruh lapisan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Sokongan daripada rakyat juga penting supaya proses pentadbiran negeri berjalan lancar dan saya yakin Menteri Besar mampu menggalas tugas itu.
“Yang penting kita utamakan kerjasama dan perpaduan, MB adalah yang mewakili semua kaum dan kumpulan…dia tidak pilih kasih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Masyarakat di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana di sini malam ini.
Ditanya adakah arahan parti selepas ini akan diberikan oleh Menteri Besar atau Pengerusi Bersatu negeri, Muhyiddin berkata, mereka perlu ada permuafakatan.
“Saya tak tahu dia bincanglah, dia tak boleh keluar arahan macam itu, perlu ada muafakat.
“Kalau pusat ikut saluranlah, itu biasa kita amalkan dan kita tak menggunakan cara lain, itu cara yang kita amalkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE.











