KUALA LUMPUR 27 Mei – MGB Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM134.7 juta daripada Blee & W Architects Sdn. Bhd. bagi pihak Seloka Sinaran Sdn. Bhd. (SSSB).
MGB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, surat pemberian kontrak itu diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, MITC Engineering Sdn. Bhd..
Katanya, kontrak itu adalah untuk cadangan projek pembangunan perumahan di Dengkil, Sepang, Selangor.
“Projek Fasa 1C (3A) dan Fasa 1C (3C) akan bermula pada Julai 2019 dan dijangka siap pada Oktober 2020, manakala pembangunan Fasa 1C (3B) akan bermula pada Mei 2019 dan dijadual siap pada Ogos 2020.
“Kontrak itu akan meningkatkan dan menambah baik nilai perolehan kontrak sedia ada MGB dan kumpulan syarikatnya, dan ia dijangka menyumbang secara positif kepada syarikat sepanjang tempoh kontrak tersebut. Dengan kontrak yang diperoleh, nilai kontrak tertunggak kumpulan itu sekarang adalah kira-kira RM1.75 bilion,” katanya di sini hari ini.
SSSB ialah anak syarikat LBS Bina Group Bhd. yang merupakan pemegang saham utama MGB. – BERNAMA











