KEHADIRAN Aidilfitri kali ini jelas suram buat keluarga pelakon Fadzil Zahari. Ini kerana abang sulungnya yang merupakan pelakon dan pengarah popular, Datuk Farid Kamil dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan oleh mahkamah atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja tetra hydrocannibol (THC) pada 15 Mei lalu.
Tidak banyak yang diulas tentang perkara itu oleh Fadzil selain mengharapkan doa orang ramai terutama keluarga dan peminat agar proses rayuan yang sedang diusahakan oleh peguam abangnya itu berjaya.
“Saya minta maaf kepada semua, saya tak boleh nak ulas apa-apa sebelum ini sebab saya sendiri

pun terkejut dengan keputusan mahkamah. Sekarang pun saya masih tidak mampu untuk mengulas banyak kerana pihak peguam Farid sedang berusaha yang terbaik untuk mendapatkan rayuan.
“Adik beradik saya sendiripun banyak bertanya tentang perkara ini tapi sukar untuk saya ulas.
“Sebelum ini ketika dia masuk lokap, dia masih boleh keluar, tapi sekarang bila sudah jatuh hukum, tak banyak yang boleh kita buat selain doa dan rayuan.
“Peguam telah aturkan segalanya untuk rayuan, namun saya harap doa dari semua agar kami dapat menyambut hari raya bersama Farid nanti,” jelas Fadzil ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan artis veteran anjuran Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan (WHAM) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Sabtu lalu.
Bercerita tentang perkembangan terbaharu Farid, jelas Fadzil, dia melihat pelakon Anak Halal itu sedikit tenang ketika ditemui kali kedua selepas dijatuhkan hukuman.
“Sewaktu awal dia dimasukkan ke penjara, saya lihat Farid sangat ‘down’ tapi kali kedua bertemu dengannya tempoh hari dia nampak lebih tenang.
“Dia beri amanah kepada saya, bila dia tiada di luar maknanya saya perlu pikul tanggungjawab sebagai orang nombor satu dalam keluarga. Saya perlu buat apa yang dia lakukan sebelum ini,” jelas Fadzil.
Beraya
Tidak hanya mengambil tugas sebagai ketua keluarga, Fadzil juga mengambil berat tentang

kehidupan isteri dan anak-anak Farid.
“Sepatutnya saya dan isteri (Yana Samsuddin) mahu bertemu Diana Danielle malam ini (Sabtu) namun adik saya, Anis telah menggantikan kami. Apa yang boleh kami lakukan adalah memberi sokongan dan kekuatan untuk mereka supaya tabah mengharungi dugaan ini.
“Begitu juga dengan keluarga saya di kampung. Setakat ini saya belum berjumpa ayah dan ibu, namun telah menghubungi mereka untuk menjelaskan tentang perkara ini selain memberi kekuatan kepada mereka,” jelas Fadzil yang mengakui ayahnya terkejut mendengar berita berkaitan Farid itu.
Menyambut hari raya dengan cara sederhana, Fadzil masih berharap dapat beraya dengan abangnya itu menjelang Syawal nanti.
“Kami akan balik awal seminggu ke Kedah dan pada hari raya ketiga akan pulang ke Yong Peng, Johor untuk beraya di kampung halaman Yana pula.
“Berbeza dengan tahun-tahun sebelum, biasanya masa-masa begini kami telah siap buat persiapan. Namun untuk tahun ini, baju raya sendiri pun kami belum beli. Tahun ini kami lebih banyak beli barangan untuk anak.
“Mungkin dekat-dekat raya nanti baru kami akan cari keperluan kami pula, paling tidak pun dapat sepasang baju sedondon pun jadilah,” katanya.











