Kerajaan belum putus mekanisme kurangkan tol - Utusan Malaysia

Kerajaan belum putus mekanisme kurangkan tol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Mei – Kerajaan belum memutuskan sebarang mekanisme untuk mengurangkan kadar tol, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Perdana Menteri, memang ada cadangan daripada pihak swasta untuk menurunkan tol supaya mereka dapat ambil alih, tetapi kadar itu tidak sampai 25 peratus.

“Tetapi ini belum diputuskan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2019 di bangunan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Perdana Menteri diminta mengulas kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dalam satu wawancara dengan stesen televisyen berbayar bahawa kerajaan berupaya menurunkan kadar tol sehingga 25 peratus dan menurunkan harga barang dengan menangani orang tengah.

Menurut Perdana Menteri, itu pendapatan Daim, tetapi kerajaan belum mengkaji bagaimana hendak menurunkan tol kepada 25 peratus kerana tidak tahu berapa yang boleh dikutip.

“Kita sekarang hadapi masalah, walaupun kita buat perjanjian menghapuskan tol apabila tol dihapuskan tanggungan kerajaan akan meningkat amat tinggi sekali.

“Umpamanya, kalau nak hapuskan tol PLUS kerajaan kena beli lebuh raya itu dengan harga RM30 bilion. RM30 bilion itu lebih baik kalau kita belanja bayar hutang, boleh kita kurangkan sikit beban kita.

“Jadi, pada masa ini belum kita dapat tentukan apa yang harus dilakukan berkenaan dengan tol,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, adalah benar rakyat akan berasa lega sekiranya tol diturun atau dihapuskan.

“Tetapi kerajaan tidak lega kerana tol itu akan dibayar kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga belum memutuskan permintaan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia supaya diberi kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus kepada kontraktor bumiputera terlibat dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Kita ada tentukan supaya kontraktor tempatan dapat tempat tetapi sama ada mereka bumiputera ataupun bukan bumiputera belum ditentukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini