ISKANDAR PUTERI 27 Mei – Tinggal kira-kira 10 hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan pelbagai persiapan akhir.
Namun bagi Juliah Mohd. Nor, 79, tiada apa mampu dan perlu dibeli untuk persiapan Syawal, semuanya ala kadar sahaja dan cukup apa yang ada.
Menurut warga emas itu, dia menetap dengan dua anak lelakinya yang masih bujang manakala 10 anaknya yang lain sudah mendirikan rumah tangga serta menetapkan dengan pasangan masing-masing.
“Persiapan raya kali ini ala kadar sahaja. Biasalah anak-anak sudah berumah tangga, jika ada anak-anak yang sudi nak memberi, Alhamdulillah dan kalau tidak ada, kita pakai dan guna apa yang ada sahaja.
“Kita ini sudah tua, baju pun sudah banyak dan masih boleh pakai lagi. Lagi pun malas nak susahkan, sebelum ini adalah juga menantu yang sedekahkan,” katanya pada Program Jalinan Kasih Ramadan di Surau An-nur Nusa Perintis 1, Gelang Patah, di sini sebentar tadi.
Pada majlis tersebut, Juliah merupakan antara 30 golongan asnaf, ibu tunggal dan kurang upaya yang menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian dan duit raya RM100 bagi meringankan beban menyambut kedatangan Ramadan.
Program tersebut disempurnakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad.
Suketman Tookiman, 64, pula merasa amat bersyukur dengan sumbangan hari raya yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya dalam menyambut bulan Syawal.
Dia yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan menghidap angin ahmar sejak setahun lalu hanya bergantung kepada pendapatan anak perempuannya bagi perbelanjaan hariannya.
“Saya merasa amat bersyukur dengan pemberian ini yang dapat meringankan beban perbelanjaan harian dalam menyambut kedatangan hari raya Aidilfitri,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkelfy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia menggalakkan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Katanya, penerima sumbangan hari raya ini kebanyakannya golongan berpendapatan rendah (B40) masih memerlukan perhatian dan bantuan daripada kerajaan.
“Program seperti ini dilihat semakin banyak diadakan bagi berkongsi kegembiraan kepada mereka yang memerlukan bagi meraikan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











