KUALA SELANGOR 27 Mei-Program Mengacau Dodol menjadi antara aktiviti yang memeriahkan lagi bulan Ramadan serta sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Apatah lagi, dodol sebagai makanan tradisional masyarakat Melayu sememangnya menjadi hidangan warisan dan tidak boleh dipisahkan dengan sambutan Aidilfitri bagi masyarakat Melayu.
Bagi Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor Datuk Abdul Rashid Asari, beliau berharap makanan tradisi masyarakat Melayu ini akan terus dipertahankan.
Ini kerana dodol mempunyai keunikannya yang tersendiri di samping boleh menjadi wadah untuk membina kerjasama dan silaturahim dalam masyarakat.
“Untuk memasak dodol ia mengambil masa yang lama. Jadi biasanya ia diadakan secara bergotong-royong. Ini sudah tentu akan dapat menjadi wadah untuk membina semangat kerjasama serta mengeratkan silaturahim dalam masyarakat. Oleh itu, saya berharap aktiviti sebegini akan dapat dilestarikan dalam masyarakat hari ini,” katanya ketika dalam Program Mengacau Dodol dan Penyampaian Sumbangan Raya kepada anak-anak yatim dan asnaf di Jeram, Kuala Selangor, baru-baru ini.
Yang turut hadir Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Said Rosli.
Beliau juga berharap, juadah tradisional seperti dodol ini akan terus dipertahankan oleh masyarakat. Ini kerana ia bukan sahaja juadah yang istimewa tetapi dalam masa yang sama merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya.
“Juadah tradisional seperti dodol ini bukan sahaja sedap dimakan, tetapi lebih daripada itu ia merupakan khazanah bangsa kita yang sangat bernilai. Oleh yang demikian menjadi tanggungjawab kita mempertahankan juadah-juadah tradisional ini agar terus mendapat tempat terutama dalam kalangan generasi muda,” tambah beliau.
Pada program tersebut juga anak-anak yatim dan asnaf sekitar DUN Jeram turut diraikan dan menerima sumbangan hari raya bertujuan membantu golongan tersebut untuk membuat persiapan menyambut hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi.-UTUSAN ONLINE











