KUALA NERANG – Cubaan dua lelaki warga Thailand untuk menyeludup 280 kilogram (kg) daun ketum ke Thailand gagal apabila mereka ditahan polis berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, anggota kereta peronda (MPV) polis menahan sebuah kereta jenis Hyundai Getz yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi.
“Anggota polis kemudian meminta pemandu dan penumpang kereta tersebut keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 28 plastik hitam mengandungi daun ketum di bahagian but dan tempat duduk bahagian belakang kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, kesemua 280 kg daun ketum yang ditemui dianggarkan bernilai RM8,400.
“Kesemua daun ketum ini dipercayai diperoleh dari kawasan ladang di kawasan Naka untuk diseludup ke negara jiran,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua lelaki berusia 40 dan 56 tahun serta berasal dari Satun, Thailand itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE











