PELABUHAN KLANG 27 Mei – Membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar sambil membawa dadah jenis syabu yang disembunyikan di bahagian bawah beg.
Itu modus operandi terbaharu digunakan tekong yang membawa PATI pulang sempena menyambut Aidilfitri, namun kegiatan itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) Selangor dalam satu Ops Pagar Laut pada pukul 12.10 tengah malam tadi.
Dalam operasi tersebut, Maritim Selangor menemukan dadah jenis syabu seberat 1.5 kilogram (kg) bernilai lebih RM100,000 serta menahan 11 individu termasuk lima wanita berusia lingkungan 24 hingga 60 tahun dalam jarak 0.3 batu nautika dari Pulau Ketam.
Berita berkaitan:
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, hasil risikan pihaknya mendapati terdapat tekong yang menyeludup membawa keluar PATI sambil membawa dadah untuk dibawa pulang ke Indonesia.
Menurutnya, hasil siasatan Maritim Selangor telah berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca berwarna biru dari Pulau Ketam menuju ke Pulau Angsa, Jeram sambil membawa PATI.
“Namun, tekong bot tersebut memecut kenderaan ke arah tebing hutan paya bakau Sungai Lima sebelum melarikan diri bersama beberapa lagi individu dan meninggalkan tiga wanita. Hasil siasatan mendapati wanita bekerja sebagai pembantu rumah yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah dan kesemua mereka mahu ke Tanjung Balai Asahan, Indonesia.
“Pemeriksaan dilakukan menemukan sebuah beg hitam mengandungi dadah jenis syabu yang dibungkus dalam plastik berwarna coklat seberat 1.5kg bernilai lebih RM100,000.
“Kita percaya dadah ini dibawa oleh tekong bot, yang mana mereka mengambil kesempatan musim perayaan untuk membawa dadah selain mencari wang pendapatan lebih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Selangor di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohammad Rosli berkata, susulan penahanan bot pertama, pihaknya telah menahan sebuah lagi bot yang sama dinaiki enam lelaki dan dua wanita berhampiran lokasi yang sama kira-kira 20 minit kemudian.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati kesemua mereka juga tidak memiliki dokumen perjalanan diri dan mahu pulang menyambut hari raya. Kita kini sedang giat mengesan kesemua individu terlibat termasuk dalang.
“Penemuan dadah di dalam bot adalah yang kedua pada tahun ini iaitu tangkapan pertama awal Januari lalu . Sempena musim perayaan ini, kita akan meningkatkan kawalan di perairan khususnya seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua yang ditahan direman selama lima hari dan dibawa ke Jeti Pulau Indah bagi siasatan lanjut selain kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN ONLINE











